Isnin, 23 November 2015

NOVEL: TAKDIR CINTA



PROLOG

ROSNAH mengatur langkah menghampiri suaminya yang asyik menonton televisyen. Rosnah melabuhkan punggungnya ke sofa bersebelahan dengan Khalid. Khalid merenung lama anak mata Rosnah. Rosnah menahan ketawa dalam diam.
Sudah masak dengan perangai suaminya itu. Walaupun perkahwinan mereka telah mencecah usia yang ke-11, namun suaminya tetap romantik dan penyayang orangnya. Alhamdulillah, selama 11 tahun itu, mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Mazlan, sepuluh tahun dan Puteri Arisya, enam tahun. Rosnah amat bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang taat kepada agama.
“Ada apa abang?”
“Nah sayang abang tak?” Soal Khalid pula. Anak matanya tidak berganjak sedikit pun daripada terus menatap wajah isterinya itu.
“La, Nah ingat apalah tadi. Abang.. abang. Sudah terang masih juga hendak di suluhnya. Mestilah Nah sayang abang. Abang kan suami Nah yang tercinta.”
“Kalau macam itu, Nah boleh tolong tunaikan permintaan abang tak?” Berkerut dahi Rosnah mendengarnya.
“Permintaan? Eh, sekejap. Nah hairan ni, tadi abang romantik lepas itu tiba-tiba saja jadi serius. Abang ni lain macam saja Nah tengok. Ke ada apa-apa yang Nah tidak tahu?” Tebak Rosnah. Khalid terpaku seketika. Kalau bisa mahu saja dia melarikan diri ke Indonesia saat itu daripada menjawab soalan isterinya yang mampu mencemaskan lagi jiwa lelakinya.
“Abang sebenarnya ada hal nak bincang dengan Nah tapi abang tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.” Acuh tidak acuh saja tutur kata yang diungkapkan Khalid. Peluh mula merenek di dahinya. Berdebar usah ditanya. Macam nak ambil peperiksaan SPM pula berdebar bagai.
“Cakaplah, abang. Apa yang susahnya? Nah bukannya harimau yang boleh telan abang. Abang ni kan macam orang yang nak minta kebenaran isteri kahwin lain saja. Sampai berpeluh-peluh badan tu.” Seloroh Rosnah itu disambut dengan senyuman tawar. Hati Khalid berbelah bahagi saat itu.
“Abang…. ermm, kalau abang cakap ni Nah jangan fikir yang bukan-bukan. Abang memang sayang Nah. Abang akui Nah memang isteri yang terbaik untuk abang. Abang harap Nah akan setuju dengan cadangan abang.” Bergetar suara Khalid. Suasana malam yang sunyi itu bagaikan turut sama menanti penerangan Khalid yang seterusnya.
“Cadangan apa, bang?”
“Abang nak kahwin dengan Sabariah, jiran kita.” Ujar Khalid perlahan.
Zrapp.. satu bilah belati tajam menusuk ke dalam hati Rosnah. Sakitnya luka itu diiringi satu tangisan sayu yang mengalir di pipi Rosnah. Air mata dibiarkan meniti laju. Rosnah merenung lama mata Khalid. Tidak percaya perkara yang paling ditakuti dan dibenci oleh setiap kaum hawa yang bergelar isteri telah menjadi igauan ngerinya. Rosnah berlalu meninggalkan suaminya yang tergamam di sofa. Entah gembira atau berduka setelah berjaya melukakan hati isterinya itu.

Tiada ulasan: