Isnin, 23 November 2015

Novel : Takdir Cinta 5

5

SYAFRILL  melangkah masuk ke dalam rumah dengan wajah penat. Dia sudah memberi salam namun tiada yang menjawabnya. Hairan juga. Selalunya bila dia pulang pasti ada yang menjemputnya. Umi ke, abi ke, acik ke, tak pun si……
“Pak su……..” Panggil Afiqah, gembira. Syafrill berlutut lantas mendepakan tangannya. Afiqah melajukan langkah dan memeluk erat badan Syafrill. Gembira benar dia bila berpeluang memeluk Syafrill.
“Mama Fiqah mana?”
“Ada kat dapur. Jom pak su…” Tanpa menanti bicara Syafrill seterusnya, Afiqah pantas menarik tangan Syafrill menuju ke ruangan dapur.
“Pergi mana ni sayang?”
“Jangan banyak cakap. Ikut je.”
Amboi-amboi, budak ni kecil-kecil rupanya cili padi. Pandai mengarah orang tua ya. Siapa la yang mengajar ni? Setibanya di ruangan dapur, Syafrill terpaku melihat hidangan yang mampu melelehkan air liurnya.
“Dah balik rupanya. Bila sampai?”  Safina meletakkan dulang yang berisi satu jag air fresh oren bersama beberapa biji gelas ke atas meja. Syafrill menatap wajah Safina.
“Eh, sepatutnya along yang tanya angah soalan tu. Ini terbalik pula. Along baru je sampai. Angah bila sampai? Tak beritahu pun nak balik.”
“Angah sampai pukul 11 tadi. Saja nak bagi surprise kat semua orang. Lagipun, si Fiqah ni rindu sangat dengan pak su dia.”
“Mama pun sama pak su.” Sampuk Afiqah di sisi Syafrill. Syafrill tergelak kecil mendengarnya.
“Abang Adam tak balik sekali ke?” Soalan itu mematikan senyuman Safina. Syafrill memandang hairan wajah Safina seolah-olah tidak selesa dengan soalan itu.
“Dia sibuk.” Jawab Safina acuh tidak acuh.
“Angah dengan dia bergaduh ke?”
“Nantilah angah cerita. Sayang dah solat asar?” Safina melarikan topik perbualan mereka dengan mengajukan soalan kepada Afiqah. Dia tidak mahu menceritakan semua masalah rumah tangga di depan anak.
“Belum. Jom solat sama mama, pak su.” Syafrill tersenyum mendengarnya.
“Jom.. Fiqah pergi ajak atuk dan nenek sekali. Kita solat berjemaah. Lepas solat baru kita makan sama-sama.” Arah Syafrill. Afiqah akur dengan arahan. Pantas dicarinya atuk dan neneknya. Safina mula mengukir senyuman melihat gelagat anaknya itu.
“Assalamualaikum.” Sapa Firdaus dari belakang.
“Waalaikumussalam.” Jawab Syafrill dan Safina serentak.
“Eh, angah ada kat rumah. Bila sampai?” Soal Firdaus teruja.
“Tengah hari tadi.” Jawab Safina.
“Acik dah solat asar?” Syafrill menyampuk tiba-tiba.
“Belum lagi.”
“Okay kalau macam tu kita semua solat asar berjemaah. Acik jadi imam.” Cadangan Syafrill itu membuntangkan mata Firdaus, terkejut agaknya.
“Kenapa acik pula? Along yang tua, along la jadi imam.” Rungutan Firdaus itu berjaya memesongkan cadangan Syafrill.
“Yalah.” Asyik-asyik aku saja jadi imam. Si Firdaus ni tak nak belajar jadi imam solat ke? Ke nak tunggu ada isteri di sisi baru ringan tulang nak jadi imam? Liat betullah si Firdaus ni. Asal imam je, aku. Sabarlah Syafrill. Janji dapat pahala lebih. He he he…..

“DIA dah ceraikan angah. Talak satu.” Terduduk Syafrill mendengarnya.
Ya Allah, kenapa semua ini berlaku? Kesian Afiqah kalau dia dapat tahu ibu bapanya telah bercerai. Fikir benak Syafrill.
“Kenapa boleh terjadi semua ni? Takkan gaduh sampai bercerai-berai  bagai. Angah ada masalah dengan suami ke?”
“Angah tak ada masalah tapi….. Tapi Adam yang nekad ingin menceraikan angah.”
“Mesti dia ada sebab atas penceraian ini.” Fikir Syafrill.
“Dia curang dengan angah. Dia kata kekasih dia tidak mahu ada madu bila mereka menikah.  Along boleh bayang tak apa yang angah rasa? Hina sangat ke angah ni sampai dia sanggup ketepikan perasaan angah semata-mata mengharapkan yang lain, yang belum tentu kekal untuknya.” Luahan Safina itu telah menghiris hati Syafrill. Terasa dirinya gagal melindungi hati adiknya daripada dilukai orang.
Manik-manik jernih mula menari di pipi lembut Safina. Sakit hatinya masih berbekas. Syafrill mengurut sedikit kepalanya yang terasa berat dengan masalah adiknya itu. Firdaus yang berada di sisi Syafrill hanya membatu. Dia masih terkejut dan tidak dapat menerima kenyataan yang didengarinya itu.
Bagi Firdaus, Adam ialah orang yang baik, berhati mulia dan penyayang. Namun, semua firasatnya jelas tersasar jauh. Kenapa insan seperti Adam masih bernyawa di muka bumi ini?
“Adam? Nama seorang nabi dan merupakan manusia pertama yang Allah ciptakan. Tapi sayang, hatinya tidak semulia nabi Adam A.S.” Ujar Firdaus sinis. Syafrill meraup muka sebak. Tidak sampai hati melihat adik perempuannya mengalirkan air mata.
Ya Allah, aku berharap aku tidak akan tergolong dalam kalangan lelaki yang suka melukai hati mana-mana wanita di muka bumi ini. Kasihan para kaum Hawa. Hati mereka lembut selembut tisu tetapi ada yang ingin mengoyakkannya. Engkau ciptakan wanita sebagai perhiasan di dunia bukannya barang mainan. Kaum Adam, kamu diberi tanggungjawab melindungi mereka bukannya menyakiti hati mereka.
“Angah sudah beritahu umi dan abi fasal ni?” Firdaus melontarkan soalan yang asyik bermain di mindanya. Safina hanya menggeleng lemah.
“Subhanallah. Angah nak beritahu mereka bila? Tak baik sembunyikan masalah ini pada keluarga terutamanya umi dan abi. ” Syafrill cuba menasihati Safina.
“Angah takut.”
“Takutlah pada Allah yang Esa. Along yakin umi dan abi akan support angah. Mereka takkan marah angah tanpa sebab yang kukuh. Lagipun angah tidak bersalah dalam hal ni.” Safina memandang Syafrill lama. Ingin mencari kekuatan di sebalik wajah itu.
“Acik pun yakin yang umi dan abi akan support angah dari belakang. Angah tak usah serabut fikir fasal ni. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Percaya pada Allah. Rasulullah pun pernah bersabda, tidak ada sesuatu perkara yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakitkan, atau kesusahan meningkatkan apa yang telah berlaku sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya.”
Tenang sedikit hati Safina mendengar nasihat daripada dua orang jejaka di hadapannya. Safina menyeka air mata dan menggantikannya dengan ukiran senyuman. Dia harus kuat menghadapi ujian hidup. Afiqah masih kecil dan amat memerlukannya. Dia tidak boleh lemah, tidak boleh cepat mengalah dengan ranjau kehidupan.

Tiada ulasan: