Isnin, 23 November 2015

Novel : Takdir Cinta 8

8
SYAFRILL menyumbat telinganya dengan ‘ear phone’. Bosan duduk dekat rumah. Maklumlah, cuti minggu. Kalau hari persekolahan biasa bolehlah dia penuhkan sisa-sisa bujangnya dengan mengajar. Hairan sungguh si Syafrill ni. Masa kerja nak cuti, bila diberi cuti nak kerja pula. Ke rindu Hidayah?
“Dengar apa tu?” tegur Firdaus sambil matanya mengerling abangnya yang ralit mendengar lagu.
“Lagu.” jawab Syafrill bersahaja.
“Lagu apa?”
“Nah.. dengar sendiri.” Firdaus menyumbat ‘ear phone’ di telinganya. Eh, macam pernah dengar saja lagu ni. Kalau tak silap aku ni lagu nasyid kumpulan dehearty. Permata apa dah? Ha, permata yang dicari. Amboi, sejak bila abang aku sorang ni layan lagu macam ni. Ke…
“Along tengah dilamun cinta ea? Dengan siapa along?” Tebak Firdaus tiba-tiba. Terbatuk Syafrill dek penangan kata-kata Firdaus itu. Macam tahu-tahu saja budak ni yang aku dilamun cinta.
“Mana ada. Saja layan lagu nasyid macam ni. Bosan.. Tak tahu nak buat apa.” Bohong Syafrill. Mana mungkin dia membuka rahsia hatinya pada Firdaus. Mahunya kecoh satu rumah.
“Jom ikut acik pergi pondok. Daripada along duduk layan lagu Permata Yang Dicari yang sweet macam kek coklat tu, lebih baik pergi pondok. Boleh tambah ilmu akhirat. Tak gitu?”
Ewah bukan main lagi budak ni sindir aku. Tajam tu ayat dia sampai menusuk kalbu. Tapi ada betulnya di sebalik sindiran Firdaus itu.
“Boleh juga. Tunggu sekejap ya. Along nak pergi siap.”
Syafrill mendaki tangga satu per satu menuju ke kamar miliknya. Firdaus menyumbat semula lubang telinganya dengan ‘ear phone’. Buat apa? Layan lagu nasyid la.

HIDAYAH menyeka air mata yang mula membasahi pipinya. Sejak dia pijakkan kaki ke rumah itu pagi tadi, Khalid langsung tidak menghiraukan kepulangannya seolah-olah Hidayah tidak wujud. Sambut pun tak, tanya khabar pun tak. Apatah lagi berbual, sepatah kata pun tak keluar daripada celah-celah gigi Khalid. Hati anak mana yang tak terasa bila ayahnya tidak mahu pandang sedikit pun wajah anaknya. Kenapa ayah terlalu benci pada Hidayah? Ya Allah, bukakanlah pintu hati ayah untuk menerima hamba-Mu  ini sebagai anaknya.
Hidayah mencapai al-Quran yang tersimpan rapi di atas meja. Dia ingin menenangkan jiwanya dengan mengalunkan bacaan al-Quran. Kesunyian bilik itu dihiasi buih-buih cinta pada Ilahi yang kian berterbangan di udara. Hidayah lebih suka mengejar cinta yang Esa berbanding cinta dunia.
“Abang ada nampak Hidayah tak? Nah nak ajak dia makan ni. Sejak pagi tadi lagi dia tak makan.”
“Tak ada. Biarlah dia nak makan ke, tak nak makan ke, nak mati kebulur ke, yang awak risau sangat ni kenapa? Dia tu bukannya budak hingusan lagi yang perlu awak ajak bagai. Tahu la dia cari makan sendiri.” Balas Khalid penuh rimas. Dia alah dengan nama Hidayah. Pantang ada yang menyebut nama itu, habis berkecai ‘mood’ Khalid.
“Malas Nah cakap dengan abang. Tak pernah fikir perasaan anak, perasaan saya.”
“Sikit-sikit pergi dapur. Asal lepas sakitkan hati saya terus pergi dapur. Ha, elok sangatlah. Mak dengan anak sama saja. Tahu buat hati saya panas je.” Rosnah meninggalkan Khalid yang rancak membebel di ruang tamu.
Hidayah terduduk lemah di sebalik pintu biliknya. Air mata dibiarkan mengalir laju. Hati Hidayah remuk dek terdengar perbualan ibu dan ayahnya itu. Kenapa keluargaku jadi begini? Adakah kerana hadirnya aku dalam hidup mereka? Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

SYAFRILL melihat setiap sudut kawasan pondok yang agak janggal baginya. Dia tidak biasa dengan persekitaran pondok itu. Kalau ditinggalkannya seorang diri di situ pasti dia akan sesat. Macamlah tempat tu hutan nak sesat bagai. He he…
“Dulu pondok ni pernah berlaku kebakaran. Pada tahun lepas. Alhamdulillah, berkat bantuan semua pihak, pondok ni terbina semula.” Terang Firdaus.
“Apa nama pondok?”
“Pondok Yusufiah. Orang di sekitar sini panggil pondok ni pondok Gelang Mas sebab pondok ni terletak dalam kawasan Gelang Mas.”
Syafrill terfikir akan sesuatu. Mungkin ideanya sedikit sebanyak dapat membantu pondok itu.
“Along ingat nak bagi sumbangan sedikit. Mungkin dapat menolong dalam menyediakan kemudahan untuk penuntut di sini.”
Firdaus mengangguk tanda setuju.
“Bagus juga idea along tu. Kalau along turut menyumbang, pasti mudir senang hati. Tambahan pula, harta yang along kumpul tu tidaklah menjadi sia-sia. In sha Allah, Allah akan berkati dan membuka luas pintu rezeki along.”
“Amin..”
Syafrill meneruskan langkah meneliti setiap kawasan pondok itu. Kalau hatinya tergerak untuk menimba ilmu di sana, mungkin dia akan daftarkan dirinya. Ilmu itu perlu dicari bermula dari buaian hinggalah liang lahad. Selagi nyawa di kandung badan, tiada alasan untuk tidak menimba ilmu. Sayangnya masyarakat akhir zaman ini tidak menyedari hakikat bahawa ilmu akhirat jauh lebih penting daripada ilmu dunia.

ABI MUSTAFA mengelamun jauh hingga ke planet Pluto bagai. Dia teringat akan bayi yang pernah dia azankan suatu masa dahulu. Di mana agaknya bayi itu sekarang? Mesti dah besar panjang. Kalaulah dapat satukannya dengan Syafrill. Hisy, merepek apa aku ni?
“Doktor, ada pesakit nak jumpa.” maklum seorang jururawat wanita. Abi Mustafa sedikit tersentak dengan kehadiran jururawat itu.
“Suruh dia masuk.” Arah Abi Mustafa. Tidak lama kemudian, seorang pesakit lelaki duduk berhadapan Abi Mustafa. Abi Mustafa menarik nafas panjang membenarkan oksigen mengisi ruang kosong dalam paru-parunya. Dia perlu fokus pada kerja.
Abi Mustafa mula memeriksa pesakitnya itu. Abi Mustafa tersenyum melihat wajah yang tidak asing baginya itu. Dia tahu pesakitnya itu penghidap kanser perut tahap satu. Baginya senyuman mampu mengubat seribu jenis penyakit dalam dirinya mahupun diri orang yang melihat senyumannya. Sebab itulah senyum itu satu sedekah. Ia mampu menenangkan hati orang yang resah mahupun berduka.
“Macam mana keadaan cik hari ni? Ada rasa sakit-sakit ke?”
“Alhamdulillah, dah kurang rasa sakit tu tapi saya risau dengan penyakit saya ni. Boleh pulih ke kanser saya ni, doktor?” Abi Mustafa mengerling ke arah raut wajah pesakitnya yang sayu.
“In sha Allah, lagipun cik mendapatkan rawatan kanser secara lebih awal. Yang penting, perbanyakan doa dan bacaan al-Quran. Ayat al-Quran ni merupakan penawar kepada segala penyakit rohani mahupun jasmani terutamanya surah al-Fatihah. Surah ini adalah syifa’. Amalkan selalu. Jangan pernah putus asa memohon bantuan Allah S.W.T.” Nasihat Abi Mustafa dengan bersungguh-sungguh. Walaupun dia doktor, tapi itu tidak bermakna dia berkuasa menyembuhkan penyakit seseorang. Dia sekadar penolong ikhtiar sebaliknya Allah jualah yang berkuasa menyembuhkan penyakit.
“In sha Allah, doktor. Ermm, doktor tak lama lagi saya akan berkahwin. Doktor datang ya. Jemput seluruh keluarga doktor. Saya senang kalau doktor sudi hadir ke majlis perkahwinan saya nanti.” Abi Mustafa tersenyum dengan ajakan pemuda di hadapannya itu. Dah nak kahwin rupanya pesakit aku ni. Biasalah muka kacak, takkan tak ada yang berkenan. Tapi anak aku si Syafrill tu, ada rupa, ada agama, ada kerja tetap tapi masih membujang lagi.
“Subhanallah, tahniah cik. In sha Allah kalau saya ada kelapangan saya akan pergi ke majlis cik. Ni bila dah jadi suami orang jangan lupa tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Pimpin isteri, berinya didikan agama.” Pesan Abi Mustafa lagi. Pemuda itu mengangguk faham.
“In sha Allah doktor. Sebenarnya doktor, saya ni dah anggap doktor macam ayah saya sendiri. Doktor ni mesti seorang ayah yang baik, kan? Untung anak doktor ada ayah macam doktor. Baik hati dan ada ilmu agama.” Puji pemuda itu ikhlas.
“Allahuakhbar… Saya biasa saja. Banyak kekurangannya..” Abi Mustafa meletuskan tawa kecil. Pemuda itu akhirnya mengukir senyuman jua. Senang hatinya bila berbual dengan doktor itu. Hati yang berduka boleh berubah menjadi hati yang ceria dalam sekelip mata.

Tiada ulasan: