1
17 TAHUN KEMUDIAN…
Rosnah melabuhkan punggung di sisi Khalid yang asyik menonton televisyen. Khalid hanya memandang sekilas wajah isterinya. “Abang sudah solat zuhur?” Soalan cepu emas Rosnah itu telah mengganggu konsentrasi Khalid. Khalid mendengus kecil.
“Nantilah. Nak habiskan cerita ni dulu. Sikit saja lagi ni. Solat tu lepas ni boleh buat. Asar pun lambat lagi kan. Apa nak risau?” Balas Khalid bersahaja. Rosnah menggeleng kepala.
“Abang, tak baik melengahkan solat ni. Kita ni bukannya muda lagi. Memang sekarang tanah di bawah kita bang, tapi mana tahu esok lusa tanah yang selalu kita pijak tu akan berada di atas kita pula. Masa itulah baru kita mula nak sedar. Merayu dengan Allah supaya dihidupkan semula ke dunia kononnya nak melakukan amal ibadah. Macam itu ke yang abang mahu? Insaflah abang. Nah tidak mahu abang terpesong jauh dari landasan akidah.” Lembut Rosnah menasihati suaminya. Khalid memandang Rosnah sinis.
“Hisy, awak ni kalau sehari tidak menyakitkan hati saya tidak boleh ke? Oh, di mata awak semua yang saya buat semuanya salah, semua tak kena!! Awak ingat saya ni jahil sangat ke fasal agama? Eh, awak dengar sini, dulu saya ni bekas pelajar sekolah pondok. Awak jangan sekali-kali hendak cuba mencabar ilmu agama saya.” Khalid cuba menahan marah yang lagi membara dalam hati. Memang dia dahulu bekas pelajar sekolah pondok namun adakah semua itu dapat menjadi alasan yang kukuh daripada menerima dan mendengar teguran orang lain?
“Abang sekarang ni dah banyak berubah. Abang bukan suami Nah yang Nah kenal dulu. Dahulu abang penyayang orangnya tapi sekarang? Kenapa sejarah pahit lama yang abang hendak simpan lagi? Nah tidak sangka yang abang akan terus menerus menyalahkan takdir Allah. Sabariah dah meninggal, abang. Tidak baik abang menjejaskan hubungan dengan Allah semata-mata kerana Allah mengambil Sabariah daripada abang.” Setitis air mata mengalir di pipi Rosnah. Rasa kecewa membelenggu jiwa lembutnya.
“Awak tak faham rasa perit dalam hati saya. Senanglah awak cakap. Terima takdir? Huh, sakit dalam hati saya sampai bila-bila tidak akan sembuh. Dah la, malas saya nak layan bebelan awak itu. Lagi lama saya duduk sini, lagi panas telinga saya.” Khalid sempat menjeling benci kepada Rosnah sebelum berlalu ke dapur. Jika dahulu wajah isterinya itu yang menjadi penawar kepada segala kekusutan tetapi sekarang wajah itu umpama racun dalam hatinya.
USAI salam diberi, Hidayah menapak masuk ke dalam rumah. Kepulangannya dari Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah disambut ibu tirinya dengan mesra. Hidayah yang berpurdah terkedu melihat ibu kesayangannya sudah lecuh dengan air mata dek menangis. Hidayah pantas meletakkan beg sandangnya di tepi pintu lantas menyeka air mata ibunya yang mengalir. Sayu hatinya melihat ibunya mengalirkan air mata. Entah kenapa dan mengapa ibunya yang tabah itu menangis. Adakah disebabkan ayah? Ah, tidak baik buruk sangka terhadap orang lain. Lagipun, ayah tidak mungkin akan menyakiti ibu.
Hidayah menatap mata ibunya penuh kasih. Walaupun Puan Rosnah hanyalah ibu tirinya merangkap isteri pertama ayah namun Puan Rosnah sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Alhamdulillah, Hidayah bersyukur kerana dianugerahkan seorang ibu tiri yang baik dan amat menyayangi dirinya. Tidak semua ibu tiri jahat dan zalim seperti yang dipertontonkan di kaca televisyen. Golongan sebegitu hanya sejumlah yang kecil sahaja. Sebaliknya, golongan ibu tiri yang baik dan penyayang lebih besar jumlahnya.
“Ya Allah, kenapa menangis ni ibu? Ibu ok ke tidak ni? Ibu tidak sihat ke?” Soal Hidayah penuh risau. Lagipun, sudah lama Hidayah tidak pulang menjenguk ibunya itu. Maklumlah, Hidayah tinggal di asrama sepanjang pengajiannya di Maahad. Walau berat hatinya untuk meninggalkan ibunya di rumah namun semangat untuk berjuang dalam bidang agama amat kental dalam jiwanya. Itulah sebab utama dia mampu untuk terus berdikari di maahad tanpa kehadiran ibu tiri dan bapanya di sisi.
“Mata ibu pedih masa potong bawang tadi. Tidak ada apalah. Ibu ok! Ni anak ibu pulang tidak beritahu pun. Ingatkan siapalah tadi.” Usik Rosnah. Lega sedikit hati Hidayah mendengarnya.
“Saja Hidayah nak bagi surprise dekat ibu. Rindunya dekat ibu dengan ayah.” Hidayah pantas memeluk erat ibunya. Ingin melepaskan segala rasa rindu yang bersarang lama.
“Ibu, ayah mana?” Soal Hidayah. Rosnah sedikit tersentak dengan pertanyaan anak tirinya itu.
“Ibu rasa, lebih elok kalau Hidayah tidak berjumpa dengan ayah untuk waktu terdekat ni.” Terang Rosnah. Hidayah sedikit kecewa dengan jawapan ibunya itu. Kuat benar rasa benci yang tergantung kemas dalam hati ayah terhadap diri Hidayah. Buruk sangat ke Hidayah ni pada pandangan ayah? Senyuman Hidayah terus mati.
“Ayah masih benci kan Hidayah lagi ke, ibu?” Rosnah hanya mengangguk lemah.
“Kenapa benci sangat ayah dengan Hidayah, ibu? Hidayah tidak ada buat salah apa-apa pun. Hidayah ni bukan anak kandung dia ke?” Hidayah berjalan keluar rumah menuju ke meja taman lantas duduk dengan lemahnya. Rosnah mengekori Hidayah kemudian duduk di hadapan anaknya itu.
“Hidayah nak tahu sebab kenapa dan mengapa ayah benci sangat dengan Hidayah semenjak Hidayah kecil lagi?” Hidayah pantas mengangguk laju. Sudah lama dia ingin membongkar rahsia di sebalik kebencian ayahnya itu tetapi tiada kesempatan. Mungkin inilah masanya untuk dia membongkar segalanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan