Novel : Takdir Cinta 4
4
HIDAYAH berjalan menuju ke perpustakaan bersama-sama dengan Asyifah. Memang rutin harian mereka apabila waktu rehat akan ke perpustakaan. Bagi mereka masa akan lebih bermanfaat jika terisi dengan ilmu yang berfaedah.
“Hebat la Hidayah ni. Ana tengok Hidayah bagi penerangan fasal talak tadi memang terbaik arr.” Puji Asyifah.
“Ada-adalah Asyifah ni. Ana biasa saja. Tadi pun, ana jawab sekadar yang ana tahu.”
“Eh, Hidayah perasan tak ustaz Syafrill tadi?”
“Perasan apa?”
“Ana rasa kan ustaz Syafrill ni ada hati dengan Hidayah la.”
“Astaghfirullah, Asyifah tak baik reka-reka cerita ni. Ia boleh menimbulkan fitnah tau tak? Hukumnya berdosa besar tau kalau kita memfitnah ni. Ustaz tu guru kita.”
“Astaghfirullah. Tapi, betul la. Ana nampak ustaz bukan main lagi senyum lebar masa Hidayah beri penerangan tadi.” Hidayah menggeleng kepala dengan firasat Asyifah yang entah betul atau salah itu. Hidayah melajukan langkahnya dan membiarkan Asyifah mengekori dari belakang.
Khairil berkerut dahi setelah terdengar perbualan Asyifah dan Hidayah yang berada di hadapan tidak jauh darinya.
“Hafiz ada hati dengan Hidayah? Biar betul? Kena tanya tuan empunya badan ni.” Khairil berpatah semula ke bilik guru. Terpadam hasratnya untuk ke perpustakaan.
KHAIRIL mengatur langkah mendekati Syafrill yang asyik memeriksa buku-buku latihan murid. Khairil menepuk bahu Syafrill sekali lantas Syafrill menoleh ke arah Khairil, salah seorang sahabat karibnya. Senyuman mula mekar indah di bibir Syafrill tika matanya terlihat wajah Khairil. Gembira peneman hatinya saat suka dan duka ada di sisi.
Sepanjang penantian jodoh, Khairil ialah teman yang selalu berada di sisinya. Selalu bagi nasihat, kadang-kadang tolong menceriakan harinya dan yang paling penting suka belanja makan. Untungnya kau Syafrill. Dapat makan percuma. He he he….
“Assalamualaikum.” Sapa Khairil ramah.
“Waalaikumussalam. Duduklah.”
“Tak pergi lunch ke?”
“Tak rasanya. Ana belum siap periksa buku anak murid ana. Banyak lagi ni.” Syafrill menyambung semula tugasnya memeriksa buku latihan murid.
“Hafiz, ana nak tanya sikit ni.”
“Tanyalah. Ana memang tengah buat rancangan Tanyalah Ustaz sekarang ni. Live lagi.” Seloroh Syafrill bersahaja.
“Amboi, ayat. Ni, betul ke anta ada hati dengan Hidayah?” Khairil memperlahankan suaranya. Takut rahsia Syafrill terbongkar. Riak wajah Syafrill mula berubah. Dadanya mula berombak kencang dek soalan itu yang pantas diserap masuk ke telinganya sehingga menggoncang pintu rahsia hatinya.
“Uhuk…mana anta tahu fasal ni?” soal Syafrill resah.
“Jadi, betullah?” Syafrill hanya melemparkan senyuman sebagai jawapan. Khairil terduduk di sisi Syafrill, tidak percaya.
FIRDAUS menapak ke arah ruang tamu di mana umi dan abinya berada. Ekor mata Umi Khadijah beralih ke raut wajah tenang anaknya yang kian menghampiri. Abi Mustafa yang sedang menonton rancangan Tanyalah Ustazah hanya memandang sekilas. Dia dapat menjangka anaknya itu ingin keluar. Maklumlah dah segak bergaya, tak kan nak pergi berkebun pula.
“Umi abi, acik minta diri dulu ya. Acik nak pergi pondok sekejap. Ada hal penting.”
“Yalah, hati-hati tau bawa kereta tu.” Pesan Umi Khadijah.
“Baiklah umi.” Firdaus bersalaman dengan Umi Khadijah dan Abi Mustafa.
“Jangan balik lewat tau.” Pesan Abi Mustafa pula. Sayang betul mereka dengan anak bongsunya itu. Firdaus bersyukur kerana dikurniakan dua insan yang amat mengambil berat akan dirinya.
“Yalah abi. Acik pergi dulu ya. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Serentak Abi Mustafa dan Umi Khadijah menjawab salam Firdaus. Firdaus mula berlalu keluar.
“Dah besar ya anak kita ni bang.”
“Yalah Jah.” Abi Mustafa menyambung semula menonton televisyen.
SUASANA sepi di bilik guru tika itu memudahkan Khairil menemu bual Syafrill yang persis orang dilamun cinta. Terlalu banyak rahsia yang ingin dibongkar namun Khairil bukan jenis yang suka siasat ala spy.
“Anta ni serius ke?” Khairil mula serius. Dia ingin mendapatkan kepastian di sebalik kekeliruan ini dengan segera.
“Mestilah. Lagipun, ana dah lama berkenan dengan dia. Sejak ana mula bekerja di sini lagi.”
“Bahaya, bahaya.” Khairil menggeleng kepala, risau.
“Kenapa pula? Apa yang bahayanya?” Syafrill mula cuak.
“Mana boleh seorang guru ada hati dengan anak muridnya. Ianya salah, Hafiz. Mungkin tanpa disedari perasaan anta ini akan mengakibatkan anak murid di maahad lebih mengejar cinta, bukannya cita-cita. Ingat, guru ialah role model kedua kepada anak murid setelah ibu bapa.” Syafrill mengeluh lemah.
“Habis tu, apa yang ana perlu lakukan sekarang? Ana tidak mahu orang lain curi hatinya sebelum ana.”
“Macam ni, anta tunggu sampai Hidayah habis belajar dahulu. Dalam tiga ke empat tahun lagi. Masa itu mungkin dia sudah bersedia untuk menerima seseorang singgah di hatinya. Bila dia sudah bersedia, anta lamar dia. Jadikan dia yang halal untuk anta. Barulah zina hati dan zina mata tidak berlaku.” Cadangan Khairil dipersetujui oleh Syafrill.
“Bagus juga idea anta. Tapi, kalau Hidayah tidak suka ana macam mana? Ana kan sudah dewasa dan dia pula masih muda remaja. Jarak usia ana dengannya banyak bukan setahun dua.”
“Allah kan ada, Hafiz. Jodoh, pertemuan, ajal dan maut semua Allah telah aturkan. Kalau sudah tertulis Hidayah tu jodoh anta, dia tetap jodoh anta. Percaya pada Allah.” Syafrill menerima teguran Khairil dengan hati terbuka. Walaupun dia ustaz tapi dia juga manusia biasa. Sering lupa dan alpa. Jadi, sebab itu umat Islam digalakkan melakukan amar makruf nahi mungkar agar manusia saling mengingati antara satu sama lain.
“Syukran ustaz Khairil. Anta memang sahabat ana dunia akhirat.” Syafrill memeluk Khairil sebagai tanda terima kasih atas nasihat bernilai itu.
Ulasan