Isnin, 23 November 2015

Novel : Takdir Cinta 2

2

“17 TAHUN yang lalu….” Rosnah mula menceritakan kenangan lampau kepada Hidayah.
Terimbau kembali detik-detik pahit 17 tahun yang lampau dalam ingatan Rosnah. Majlis perkahwinan Khalid dan Sabariah dilangsungkan secara kecil-kecilan. Sepanjang majlis itu berlangsung, Rosnah lebih selesa mendiamkan diri sahaja. Setiap ungkapan yang keluar dari bibirnya hanyalah sepatah dua kata. Senyuman yang diberikan, semuanya senyuman pahit. Hati mana yang tidak terluka setelah disahkan mempunyai madu? Rosnah terpaksa menelan kenyataan pahit itu tanpa kerelaan hatinya. Hubungan Rosnah dan Khalid kian renggang semenjak Sabariah hadir dalam hidupnya. Pernah sekali Rosnah meminta Khalid menceraikannya kerana Khalid tidak berlaku adil pada dirinya. Namun, permintaan itu tidak memberikan kesan sedikit pun.
Semenjak Khalid berkahwin dengan Sabariah, Rosnah diketepikan. Rosnah dan anak-anaknya persis pengemis jalanan yang menagih secebis kasih sayang daripada Khalid. Perasaan benci sehari demi sehari berputik di hati Rosnah terhadap Sabariah. Dia tidak menyangka, jirannya yang selalu berkongsi suka duka bersama tergamak menghancurkan hatinya yang persis kaca itu. Rosnah hampir berputus asa untuk meneruskan kehidupan yang dipenuhi dengan tangisan.
Sakitnya kian mencengkam saat Sabariah disahkan mengandung. Perhatian Khalid seratus peratus beralih kepada Sabariah. Hari-hari Rosnah ditemani air mata kecewa. Kecewa dengan sikap Khalid yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna sebagai seorang suami dan ayah.
Tidakkah Khalid mengetahui akan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat tiga, iaitu: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
Kini, barulah Rosnah mengerti akan perasaan wanita yang dimadukan. Perit, derita dan sengsara bercampur baur menjadi satu adunan sebati dalam hatinya…

HARI yang mendebarkan jantung Sabariah telah hadir secara mengejut. Dia tidak menyangka anak sulungnya akan dilahirkan pada hari itu. Tidak silapnya, doktor menjangka dia akan bersalin dalam dua minggu lagi. Tetapi, entah mengapa anak sulungnya ingin benar melihat wajah ibunya dua minggu lebih awal.
Hampir dua jam Sabariah di dalam wad bersalin. Khalid kian cemas menanti isterinya yang berjuang seorang diri di dalam sana. Rosnah tiba-tiba teringat akan anak-anaknya. Terus dicapainya telefon dari dalam beg. Nombor Mak Esah di dail.
“Assalamualaikum.. Mak, Nah ni. Nah nak minta tolong mak jaga anak-anak Nah hari ni, boleh? Nah ada dekat hospital ni.” Jeda seketika. “Yah bersalin. Apa-apa hal nanti Nah akan beritahu dekat mak. Assalamualaikum..”
Rosnah menghampiri Khalid. “Abang, pergilah  solat asar dulu. InsyaAllah, semuanya akan selamat.” Nasihat Rosnah. Khalid akur dengan kata-kata Rosnah. Bayangan Khalid kian menghilang dari ruang menunggu. Rosnah mengeluh berat. Dia turut risau akan keselamatan Sabariah dan anak tirinya.
Beberapa minit kemudian, seorang jururawat perempuan bergegas mendapatkan Rosnah. Raut wajah Rosnah berubah pucat. Entah apa yang telah berlaku pada Sabariah. Semoga semuanya baik-baik saja hendak-Nya.
“Puan ahli keluarga Puan Sabariah ke?” Soal jururawat muda itu.
“Ya saya. Kenapa ni nurse?”
“Cepat ikut saya. Keadaan Puan Sabariah kritikal sekarang ni.”
“Ya Allah!!” Rosnah bergegas memasuki wad bersalin. Hampir luluh hatinya saat melihat Sabariah yang kini sedang berhadapan dengan sakaratulmaut. Rosnah memegang erat tangan pucat milik Sabariah. Air mata dibiarkan mengalir di pipi. Rosnah mendekatkan telinganya ke mulut Sabariah yang seperti ingin menuturkan bicara.
“A a a…akak…to..tolong…jag..ga…a a…an..nak…Yah. Am…punkan…Yah…kak..” Air mata mengalir di pipi Sabariah. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan anak sulungnya. Namun, apakan daya. Dia sendiri tidak mampu melawan takdir yang telah ditetapkan untuknya. Mungkin itulah kali terakhir dia bisa melihat dunia.
“Jangan tinggalkan akak, Yah.”
Khalid bergegas mendapatkan Sabariah yang sedang nazak. Air mata lelakinya mula mengalir penuh sayu.
“Ab…bang…ma..afkan…Yah.” Khalid menyeka air matanya. “Yah, jangan buat abang macam ni. Please, jangan tinggalkan abang.” Serak basah suara Khalid menambahkan kepiluan semua orang di situ.
Jururawat Zaiton mendukung seorang bayi perempuan menghampiri Sabariah. Sabariah memegang erat tangan kecil anak pertama dan terakhirnya.
“An..nak…ib..bu..” Degupan jantung Sabariah kian tidak stabil. Doktor Anisah memeriksa kadar nadi pesakitnya.
“Mengucap, Yah.” Sabariah mengikut kalimah syahadah yang dibaca oleh Khalid dengan perlahan-lahan.
Deringan panjang daripada mesin kadar denyutan jantung telah mengesahkan bahawa Sabariah telah meninggal dunia. Doktor Anisah hanya mampu menggeleng lemah. Suasana di dalam wad itu kian suram. Hanya tangisan yang kedengaran bersilih-ganti.

“MACAM itulah bermulanya kisah ayah kamu menanam pohon kebenciannya. Dia tidak mampu menerima takdir. Dia sangka kamulah penyebab utama kematian isterinya iaitu mama kamu. Ibu tidak tahu kenapa terlalu sukar bagi ayah Hidayah menerima kenyataan. Kesian dekat kamu Hidayah.” Hidayah menyeka air mata yang meniti di pipi Rosnah.
“Dan yang paling ibu sedih, ayah Hidayah tidak sudi pun untuk azankan Hidayah waktu itu. Mujurlah ada seorang doktor lelaki yang baik hati, sanggup tolong azankan Hidayah.” Hidayah tersentak. Begitu sekali ayahnya berdendam?
“Ibu, siapa nama doktor tu?”
“Tidak silap ibu, doktor Mustafa namanya.” Hidayah memandang pohon bunga ros merah di sisinya. Di manakah doktor Mustafa sekarang? Bagaimanakah cara untuk aku bertemu dengannya? Ya Allah, berilah hamba-Mu yang kerdil ini kesempatan untuk bertemu dengan doktor Mustafa. Aku ingin berterima kasih padanya.

Tiada ulasan: