11
HIDAYAH memeluk erat tubuh Asyifah. Pipinya dihujani air mata. Kenapa takdir menemukan dirinya dengan Firdaus? Selama ini dia bersusah payah memaksa hatinya untuk melupakan Firdaus dan setelah dia berjaya, wajah itu kembali mengetuk pintu hatinya. Apakah makna di sebalik pertemuan ini?Firdaus sampai hati kau buat aku macam ini. Pergi dan kembali begitu sahaja. Apa niat sebenarmu? Mahu mempermainkan hati aku lagi? Cukuplah luka yang engkau tinggalkan bekasnya pada hati aku. Sakitnya masih terasa, Firdaus.
“Sabarlah Hidayah. Allah uji pasti ada sebabnya.” Asyifah meniupkan kata-kata semangat kepada Hidayah. Sayu hatinya bila melihat sahabatnya itu sudah lecuh dengan air mata.
“Ana sudah melupakannya, Asyifah. Kenapa dia perlu muncul semula?” Rintih Hidayah. Asyifah yang tidak dapat menahan sebak turut mengalirkan air mata.
“Kuatkan semangat Hidayah. Jangan jadi lemah.” Pujuk Asyifah lagi. Asyifah mengerling ke arah pak cik yang asyik melihat mereka dari cermin pandang belakang. Mungkin dia hairan dengan dua orang penumpangnya yang bersedih dari tadi.
“Maaflah pak cik. Kawan saya baru lepas ditimpa ujian. Tu yang dia sedih sangat.” Maklum Asyifah. Pemandu teksi itu mengangguk faham.
“Sabar ya nak. Allah uji sebab Allah sayang.” Pujuk pak cik teksi, ramah dan ikhlas. Asyifah tersenyum mendengarnya.
Pedal brek ditekan kuat. Kereta teksi berhenti betul-betul di hadapan rumah Hidayah.
“Tunggu sekejap ya pak cik.” Lelaki yang berumur dalam lingkungan 50 tahun itu mengangguk faham.
Asyifah memimpin badan Hidayah yang masih lemah hingga ke pagar rumah. Hidayah penat menangisi ujian yang menimpanya.
“Sampai sini saja Asyifah. Ana boleh masuk sendiri.” Ujar Hidayah lemah.
“Betul ni?” Soal Asyifah penuh risau.
“Betul.”
“Jaga diri tau. Jangan ingat fasal kejadian tadi lagi. Ana balik dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”Asyifah kembali memasuki kereta teksi dan berlalu pergi.
HIDAYAH meletakkan beg di atas katil. Wuduk diambilnya. Dia ingin menunaikan solat asar. Mungkin setelah dia mengadu kepada Allah, hatinya akan sedikit tenang. Usai solat asar, Hidayah mencari ibunya di dapur. Ada sesuatu yang ingin diberitahu kepada ibunya itu.
“Ibu…” Rosnah berhenti memotong sayur saat telinganya menangkap suara lemah lembut itu.
“Ya nak. Ada apa?” Rosnah menoleh ke belakang.
“Hidayah nak cakap sikit ni. Hidayah bercadang nak duduk di pondok cuti ni. Ibu benarkan tak?” Pinta Hidayah.
“Ya Allah, mestilah ibu benarkan. Anak ibu nak cari ilmu akhirat kan, takkan ibu tidak izinkan. Bila nak pergi?”
“Minggu depan. Boleh?”
“Boleh sayang. Tapi urusan kemasukan Hidayah?”
“Yang tu ibu tak usah fikir. Ada seorang ustaz di maahad boleh tolong uruskan segalanya.” Rosnah sekadar mengangguk. Dia memegang pipi Hidayah. Diusapnya penuh sayang. Wajah dia sama dengan wajah ibu kandungnya. Bisik hati kecil Rosnah. Hidayah memeluk Rosnah penuh kasih. Agak berat hatinya untuk meninggalkan ibunya itu buat kali kedua.
HIDAYAH memasukkan pakaiannya ke dalam almari. Mujurlah ada Syafrill yang sudi menguruskan kemasukannya. Kenapa ustaz terlalu baik dengan aku? Mata Hidayah tiba-tiba beralih pada sekumpulan gadis yang sedang menghampirinya.
“Pelajar baru di pondok ni ke?” Tegur salah seorang daripada mereka.
“Na’am. Ismy Hidayah. Wa anta?”
“Ismy Haida. Yang ni Haliza, Hafiza dan Hanim. Kami four H.”
“Four H?” Berkerut dahi Hidayah mendengarnya. Apa ke benda ‘four’ H tu?
“Macam ni, nama kami semua bermula huruf ‘H’. Jadi kami beri gelaran kepada kumpulan kami four H. Kalau Hidayah nak join group kami pun boleh sebab nama Hidayah bermula huruf H juga. Betul tak korang?” Ujar Haida teruja.
“Ya. Jom la join kami. Kita boleh jadi five H.” Ajak Hanim pula. Yang lain hanya tersenyum setuju.
“Jangan risau kami orang baik. Sama-sama nak timba ilmu di sini.” Maklum Haliza, lembut.
“In sha Allah… boleh tak kamu semua bantu saya kenal semua kawasan di pondok ni? Saya tak biasa dengan tempat ni.” Pinta Hidayah. Dia perlu mengenali setiap kawasan di pondok itu terlebih dahulu. Barulah dia tidak sesat.
“Okay. No problem.. Sekarang jom ikut kami pergi round satu pondok ni.” Arah Hafiza bersemangat. Hidayah mengekori kumpulan four H itu ke mana sahaja mereka pergi. Terima kasih ya Rabb kerana memudahkan segala urusan hamba-Mu di sini dan memberi diri ini empat orang rakan baru yang baik hati.
FIRDAUS membaca hadis Rasulullah di taman mini. Syafrill menepuk bahu Firdaus dari belakang. Agak terkejut adiknya itu. Mujurlah tidak melambung buku hadis di tangan Firdaus dek terkejut.
“Along rupanya. Ingat siapa la tadi.”
“Ni kenapa acik tak pergi pondok? Kalau tak silap along dah hampir seminggu acik tidak pergi sana. Ada masalah ke?”
“Tak ada apa-apa masalah. Acik cuma nak rehat minggu ni. Tenangkan fikiran.”
“Jangan bohong la acik. Acik tu adik kandung along tau. Along kenal siapa adik along. Acik tak pernah ponteng kelas pengajian di pondok. Mesti ada masalah ni. Cepat beritahu along.”
“Fikiran acik tengah serabut sekarang ni.” luah Firdaus.
“Cuba cerita apa masalah acik. Mana tahu along boleh tolong.”
Syafrill duduk berhadapan Firdaus.
“Acik ada terserempak dengan kawan acik masa maahad dulu. Acik sayangkan dia. Sayang sangat. Dia ingat acik dah lupakan dia. Acik tak pernah lupakan dia, along. Setiap doa yang acik tadahkan, tidak ada satu pun doa yang tidak pernah acik selitkan namanya. Acik sedih sangat dia dah mula membenci acik. Bercakap dengan acik pun dia tak nak.” Firdaus mula menangis teresak-esak.
Syafrill rasa kasihan dengan nasib adiknya. Syafrill memeluk erat tubuh kurus Firdaus. Dia ingin menyalurkan kekuatan dalam diri Firdaus. Syafrill tidak menyangka adiknya itu akan mengalirkan air mata kerana seorang perempuan. Begitu kuat kasih sayang Firdaus pada perempuan itu.
“Sabarlah acik. Lambat-laun hati dia akan lembut jua. Perempuan ni dia marah sekejap saja. Bila dia dah sejuk, ambil semula hatinya. Hurm, along kenal ke gadis yang telah membuat adik along menangis bagai ni?”
“Dia pelajar along.” Syafrill mengangkat kening tidak percaya. Pelajar aku? Yang mana satu? Lantak la yang mana pun. Janji bukan Hidayah. Kalau tak mahunya aku menangis tidak berlagu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan