Isnin, 23 November 2015

Novel : Takdir Cinta 3

3

“UMI tak nak dengar sebarang alasan daripada Hafiz lagi. Umi nak Hafiz bawa calon isteri tahun ini juga. Titik!!!”
“Tapi umi….”
“Hafiz, awak tu dah berumur 28 tahun. 28 tahun tahu tak? Bukannya 16 tahun lagi. Awak tu dah terlebih layak jadi ayah orang dah. Sampai bila nak membujang? Beritahu umi…”
Syafrill mengusap mukanya. Ingin dibuang segala kekusutan dalam benak fikirannya. Entah mengapa otaknya selalu mengulang kata-kata umi soal status bujangnya sejak kebelakangan ini. Seolah-olah memperli dirinya yang belum berkahwin. Syafrill menolak ke tepi longgokan buku latihan muridnya. Dia tidak dapat fokus 100 peratus dengan kerjanya saat itu.
“Kahwin? Ya Allah…kenapa mesti dikaitkan dengan aku? Aku belum bersedia lagi.” Ujar Syafrill perlahan.
Dia sendiri sedar akan dirinya yang kian berumur. Siapa yang tidak mahu mendirikan rumah tangga? Sudah semestinya insan sepertinya menginginkan teman hidup yang bisa mewarnai kehidupannya sementara menunggu ajal menjemput. Tapi, siapakah yang akan dijadikan isterinya? Lagipun, selama 28 tahun usianya itu, belum pernah kaum hawa singgah di taman hatinya. Dia sendiri hairan mengapa dirinya sukar menemui cinta manusia.
Dia akur bahawa jodoh itu rahsia Tuhan yang Esa. Namun, adakah dia harus terus menunggu tanpa sebarang usaha? Ah, biarlah takdir menentukan segala-galanya.
“Assalamualaikum ustaz Hafiz.” Sapa Zarif.
Zarif berkerut dahi apabila Syafrill tidak membalas salamnya. Mengelamun agaknya. Timbul akal nakalnya tika itu. Dilihat sekeliling ruangan bilik guru itu sebagai langkah keselamatan. Mujurlah hanya dia dan Syafrill sahaja di situ. Maklumlah waktu rehat. Zarif meneruskan niatnya. Perlahan-lahan Zarif memeluk badan Syafrill yang asyik dalam alam khayalan dari belakang.
Berdiri bulu roma Syafrill saat dirinya dipeluk secara tiba-tiba. Belum pernah dia dipeluk sedemikian rupa. Syafrill menepis kasar pelukan Zarif.
“Astaghfirullah… apa yang kamu buat ni?” Marah Syafrill tanpa mengetahui siapa yang memeluknya. Syafrill menoleh ke belakang.
“Zarif?”
Merah padam wajah Syafrill menahan malu. Zarif pula tidak henti-henti meletuskan ketawanya. Apa yang lucu sangat pun tak tahu la? Mungkin kerana riak wajah Syafrill yang terkedu plus terkejut.
“Tak habis lagi ketawa?” Soalan itu mematikan ketawa Zarif.
“Okay okay…. dah habis.”
“Demo gak selalu nak kenakan ambo. Kalau sehari tak kenakan orang  memang tak sah kan?”
“Tenang la Hafiz. Ambo gurau jah. Janganlah garang sangat ustaz. Ambo risau kalu demo garang sangat nanti jodoh demo lari. He he he….”
Syafrill mencapai buku teks Agama Islam Tingkatan 5 lantas berura-ura meninggalkan Zarif.
“Nak pergi mana Hafiz?”
“Ambo ada kelas ni. Demo tak mengajar ke? Ke curi tulang?”
“Hisy dia gak. Ni masa ambo rest. Lepas ni baru ada kelas.” Syafrill mengangguk faham.
“Assalamualaikum.” Zarif menjawab salam Syafrill dalam hati. Susuk tubuh Syafrill kian menghilang daripada pandangan Zarif.

SYAFRILL memasuki kelas 5 Sains bersama satu senyuman di bibirnya. Syafrill meletakkan buku teks Agama Islam Tingkatan 5 di atas meja. Semua murid bangun berdiri dan memberikan salam. Usai bacaan doa, Syafrill membenarkan muridnya duduk.
  “Alhamdulillah, hari ini kita boleh bertemu dan menimba ilmu lagi. Okay, hari ini ustaz akan ajar mengenai topik perkahwinan. Sebelum ustaz memulakan sesi pengajaran, ada apa-apa soalan yang ingin kamu tanya ustaz mengenai topik ini?”
Syafrill melihat semua muridnya diam membisu. Sudah faham ke budak-budak ni bab perkahwinan? Mata Syafrill beralih kepada Hidayah.
“Hidayah, ada nak tanya ustaz apa-apa fasal topik ni?” Hidayah sekadar menggeleng kepala.
“Baiklah, kalau macam itu biar ustaz yang tanya Hidayah.” Hidayah terkedu seketika.
“Apa maksud talak taklik?”
“Erkk, ustaz ana minta maaf kerana ana sebenarnya belum arif lagi soal talak ni. Ana takut tersalah maksudnya. Jadi, ana rasa lebih baik ustaz saja yang menerangkan maksud talak taklik.”
“Ustaz rasa tidak eloklah ustaz yang bertanya dan ustaz juga yang menjawabnya. Betul atau salah jawapan Hidayah, ustaz tak akan marah. Yang penting Hidayah mampu menerangkan apa yang Hidayah faham dengan talak taklik.”
Hidayah terkulat-kulat di tempatnya. Hidayah mencuit lengan Asyifah dengan harapan kawannya itu boleh membantunya.
“Jawab je..” Ujar Asyifah perlahan.
“Hurm, pada pandangan ana talak taklik ni suami menceraikan isterinya bersyarat dengan sesuatu sebab atau syarat. Apabila syarat atau sebab itu dilakukan atau berlaku, maka terjadilah penceraian atau talak. Contohnya si suami kata sekiranya si isteri melangkah keluar melepasi pintu rumah maka jatuh talak satu. Jadi, si isteri telah melakukannya juga. Maka, telah berlaku penceraian di situ.” Terang Hidayah yakin.
“Bagus Hidayah. Ustaz suka dengan jawapan itu. Syukran.” Hidayah duduk dengan perasaan yang amat lega.
Alhamdulillah, nasib baik ustaz suka dengan jawapan aku. Kalau tak nahas aku… Terima kasih ya Allah kerana telah membantu hamba-MU ini.

Tiada ulasan: